Sebagaimana maklum, semenjak dahulu lagi ummat Islam telah sepakat bahawa tidak akan dibaca walau satu hurufpun suatu bacaan (qiraat) itu, dan tidak akan dihukum sebagai sebahagian daripada al-Quran, bahkan tidak akan ditulis di dalam mushaf sehinggalah telah dipastikan ke'tawatur'annya dari satu generasi ke satu generasi.
Apakah bacaan yang mencapai taraf tawatur?
Timbul pula persoalan. Bagaimana diketahui para sahabat r.a. mencecah bilangan tawatur?
Antara Muhajirin yang menghafal al-Quran ialah Abu Bakr as-Siddiq, Umar ibn al-Khaatab, Uthman ibn 'Affan, Ali ibn Abi Talib, Sa'ad ibn Abi Waqas, Thalhah ibn 'Ubaidillah, Abdullah ibn Mas'ud, Huzaifah al-Yamani, Abdullah ibn Umar, Abu Hurairah, Ibn Abbas, Aisyah, Hafsah, dan lain-lain.
Manakala dari kalangan Ansar pula seperti Ubai ibn Ka'ab, Mu'az ibn Jabal, Zaid ibn Thabit, Abu ad-Dardaa, Anas ibn Malik, dan sebagainya.
Para sahabat r.a. ini telah menghafal al-Quran semasa hayat Nabi Muhammad s.a.w. lagi. Bilangan huffaz (penghafal al-Quran) makin bertambah berlipat kali ganda dan wujud di merata-rata tempat kesan daripada tersebarnya ajaran Islam ke seluruh dunia. Hasilnya, ummat Islam ketika itu amat dahagakan al-Quran dan bersungguh-sungguh dalam mencari guru-guru untuk mempelajari Qiraat (bacaan) al-Quran.
Perlulah diketahui bahawa pada zaman tersebut, al-Quran masih belum dibukukan secara rasmi. Ini kerana kuatnya ingatan para sahabat r.a. dan ketelitian mereka dalam menjaga al-Quran itu sendiri.
Namun zaman terus berubah. Al-Quran mula ditulis secara meluas pada zaman Saidina 'Uthman r.a. akibat berlakunya fitnah besar kepada ummat Islam semasa pembukaan Armenia dan Azerbaijan. Maka berlakulah pemusatan bacaan al-Quran kepada imam yang dilantik bagi setiap kawasan yang ditentukan bersama mushaf yang sepadan dengan bacaan imam tersebut.